Kesemua mereka menerima anugerah khas yang diadakan bersempena Majlis Makan Malam Penghargaan dan Sambutan Hari Penderma Darah Sedunia Peringkat Kebangsaan 2017.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri S. Subramaniam berkata, jasa serta pengorbanan para penderma darah adalah besar kerana mereka menyelamatkan nyawa orang lain di negara ini.

"Mereka (para penderma darah) bukan mengharapkan ganjaran, sebaliknya mereka menderma secara sukarela. Ada yang menderma darah secara sukarela sejak 20 tahun dan ada juga yang menderma lebih dari 60 kali.

"Malah, Malaysia sendiri mendapat pengiktirafan dunia sebagai sebuah negara yang menjalankan aktiviti pendermaan darah 100 peratus secara sukarela," katanya semasa berucap dalam majlis itu.

Yang hadir sama pada majlis itu ialah Pengarah Pusat Darah Negara, Dr. Noryati Abu Amin dan Pengarah Jabatan Kesihatan Selangor, Datuk Dr. Zailan Adnan.

Sementara itu, Subramaniam dalam sidang akhbar yang turut memaklumkan bahawa golongan wanita yang merupakan golongan paling ramai tampil menderma darah secara sukarela di negara ini.  

"Saya fikir perkembangan itu amat baik dengan peningkatan 30 hingga 35 peratus ketika ini. Malah, senarai menunggu untuk menderma darah juga ramai.

"Jika dibandingkan sebelum ini, jumlah penderma darah wanita adalah kecil. Mungkin peningkatan ini selari dengan perkembangan sosioekonomi serta kesedaran untuk menderma darah yang tinggi.
"Tahun lalu sahaja, Pusat Darah Negara menerima lebih 693,000 unit beg darah daripada penderma seluruh negara. Malah, daripada kesemua penderma, 68 peratus daripadanya adalah penderma ulangan," ujarnya. - UTUSAN ONLINE